FAKTOR-FAKTOR PEMILIHAN SIJIL OPERASI PERHOTELAN
SEBAGAI PEMBENTUKAN AWAL KERJAYA PELAJAR PROGRAM
OPERASI PERHOTELAN, KOLEJ KOMUNITI KUANTAN
Tengku Nor Azura Tuan Pa
Kolej Komuniti Kuantan, Malaysia.
Ahmad Zairi Mohd Zain
Kolej Komuniti Kuantan, Malaysia.
Emel pengarang koresponden: tengku_nor_azura@kkkua.edu.my
ABSTRAK
Dewasa ini, peningkatan kerjaya di dalam bidang hospitaliti khususnya bagi program Operasi Perhotelan telah berkembang dengan pesat seiring dengan matlamat penubuhan Kolej Komuniti yang memberikan lebih penekanan kepada praktikal (skill) berbanding teori semata-mata. Sijil Operasi Perhotelan di Kolej Komuniti Kuantan telah melatih ramai tenaga kerja yang memiliki kemahiran layanan, sajian, perkhidmatan seperti kaunter hadapan dan pengemasan bilik. Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti faktor-faktor pemilihan Sijil Operasi Perhotelan sebagai pembentukan awal kerjaya pelajar program Operasi Perhotelan di Kolej Komuniti Kuantan. Pengumpulan data bagi kajian ini telah dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan kajian berbentuk kuantitatif yang menggunakan kaedah tinjauan deskriptif dengan menggunakan nilai min. Borang soal selidik telah digunakan sebagai instrument kajian di mana seramai 31 orang responden yang terdiri daripada pelajar semester 1 sehingga semester 4 Sijil Operasi Perhotelan bagi sesi ambilan II 2022/2023 telah menjawab dan melengkapkan soal selidik yang telah diberikan kepada mereka. Sebanyak 10 peratus sampel daripada populasi kajian yang diperlukan untuk pelaksanan kajian rintis telah dilaksanakan bagi menilai kebolehpercayaan bagi item-item soalan yang terdapat di dalam boring soal selidik. Data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) bagi mendapatkan statistik deskriptif (frekuensi, peratusan, dan min). Objektif bagi kajian ini adalah untuk mengenalpasti adakah faktor minat, faktor ibu bapa/keluarga dan faktor kejaminan kerjaya mempengaruhi pemilihan Sijil Operasi Perhotelan sebagai pembentukan awal kerjaya pelajar Sijil Operasi Perhotelan, Kolej Komuniti Kuantan. Hasil dapatan kajian ini juga telah mengesahkan penyataan dengan nilai min tertinggi adalah faktor minat dalam pekerjaan yang melibatkan kemahiran, dengan nilai min 4.61. Faktor peranan ibu bapa/keluarga tidak memberikan impak yang signifikan kepada pelajar kerana nilai min menunjukkan bacaan terendah iaitu 2.45 dengan sisihan piawai 1.362 sahaja. Oleh itu, cadangan kajian pada masa akan datang boleh tertumpu kepada implikasi kemahiran sebagai pendorong utama penentuan laluan kerjaya pelajar Sijil Operasi Perhotelan.
Kata kunci: Sijil Operasi Perhotelan;Kolej Komuniti Kuantan;Faktor-faktor pemilihan pelajar