ANALISA TREN MASALAH PELAJAR DI KOLEJ KOMUNITI BAGAN DATUK
Nur Hidayati Sanusi
Unit Pembangunan Pelajar, Kolej Komuniti Bagan Datuk.
Emel pengarang koresponden: zuriana.zamberi@gmail.com
ABSTRAK
Analisa tren masalah pelajar adalah satu kajian penting untuk mendapatkan fakta tentang statistik masalah pelajar di Kolej Komuniti Bagan Datuk. Kajian ini dijalankan dengan tinjauan literatur dan juga data statistik masalah pelajar KKBGD pada tahun 2022. Data yang diperolehi pada asasnya adalah untuk menilai jenis permasalahan pelajar dan cara mengatasinya. Walaubagaimanapun, data ini menjurus kepada penganalisaan perincian bulanan secara deskriptif melibatkan nilai kekerapan. Penilaian dibuat bagi melihat kekerapan sesi bimbingan konsultasi berdasarkan laporan bulanan. Punca kepada bentuk pola atau tren ini juga dinyatakan dalam kertas kajian ini. Kajian mendapati berlaku tren peningkatan dari bulan Januari 2022 hingga bulan April 2022 dan terus meningkat pada penggal kedua bermula Ogos hingga November 2022. Oleh itu, tren permasalahan ini dapat dilihat dari jangkaan peningkatan jenis permasalahan yang dihadapi oleh klien. Kupasan tren permasalahan dan cadangan positif turut dibincangkan.
Kata Kunci: tren; psikologi; kolej komuniti; permasalahan; pola.