TAHAP EFIKASI KENDIRI KEUSAHAWANAN DENGAN PENGETAHUAN ASAS KEUSAHAWANAN PESERTA NCER

Nor Halina Noordin

Kolej Komuniti Sik, Kedah


Nurul Nadiah Shahrom

Kolej Komuniti Sik, Kedah


Nur Hafizah Marzuki

Kolej Komuniti Baling, Kedah


Emel pengarang koresponden: norhalina@kksik.edu.my

ABSTRAK

Program empowerNCER merupakan program di bawah kendalian NCER Malaysia. Kolej Komuniti Sik dan Baling telah dipilih sebagai penyedia latihan yang memfokuskan kepada menyediakan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran atau menjadi pemilik perniagaan terutamanya bidang Foodpreneur dan Jahitan Kreatif. Namun begitu, kebanyakan peserta tidak mempunyai asas dalam pengetahuan keusahawanan dan ini menyukarkan peserta mengendalikan perniagaan selepas mendapat kemahiran dari institusi. Kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti tahap efikasi keusahawanan dan pengetahuan asas keusahawanan yang terbahagi kepada pemasaran dan kewangan. Objektif kajian juga ingin mengenalpasti perbezaan yang wujud terhadap pengetahuan asas keusahawanan dengan kehadiran kursus perniagaan dan perbezaan efikasi keusahawanan dengan pemilikan perniagaan peserta. Soal selidik yang mengandungi 23 item digunakan sebagai instrumen kajian untuk meninjau efikasi keusahawanan dan pengetahuan asas keusahawanan di kalangan peserta kursus NCER. Kajian deskriptif berbentuk tinjauan digunakan dalam kajian ini. Data dianalisis secara deskriptif bagi mencari nilai min dan t-test bagi menjawab persoalan kajian. Dapatan kajian menunjukkan min efikasi keusahawanan, pengetahuan keusahawanan pemasaran dan kewangan adalah sederhana tinggi. Terdapat perbezaan di atara pengetahuan keusahawanan dari segi pemasaran manakala tidak terdapat perbezaan pengetahuan keusahawanan dari segi kewangan dengan kursus keusahawanan yang pernah dihadiri. Terdapat juga perbezaan di antara efikasi keusahawanan dengan pemilikan perniagaan oleh peserta. Kesimpulannya, efikasi keusahawanan dan pengetahuan asas keusahawanan berjaya diterapkan melalui kursus di bawah kelolaan Kolej Komuniti Sik dan Baling. Namun, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan iaitu menganjurkan kursus perniagaan dengan lebih kerap dan memfokuskan kepada kewangan supaya peserta lebih mahir dalam mengendalikan perniagaan.

Kata kunci: empowerNCER, efikasi keusahawanan, pengetahuan keusahawanan, kewangan, pemasaran.