KEBERKESANAN PELAKSANAAN PROGRAM PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT (PSH) DI POLITEKNIK PORT DICKSON
Mohd Shahril Fahmi Mohd Zaini
Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan
Nooralwani Alias
Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan
Nin Hayati Mohd Yusoff
Kolej Komuniti Masjid Tanah, Melaka
Emel pengarang koresponden: shahril@polipd.edu.my
ABSTRAK
Dalam dunia yang terus berubah, Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) menjadi semakin penting dalam memperoleh ilmu pengetahuan untuk perkembangan diri atau profesional sepanjang kehidupan. Politeknik Port Dickson mengambil pendekatan ini untuk menganjurkan program - program bagi membudayakan PSH dengan menawarkan kemudahan serta sumber pembelajaran terkini. Ia juga bagi melaksanakan saranan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) iaitu memperkukuh PSH. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti keberkesanan pelaksanaan Program PSH di Politeknik Port Dickson (PPD) berdasarkan program-program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2019 hingga 2022. Penilaian keberkesanan program melibatkan 357 responden yang terdiri peserta program PSH yang dianjurkan di PPD. Kajian berbentuk kuantitatif yang menggunakan instrumen borang soal selidik bagi mendapatkan nilai min tahap keberkesanan program yang telah dijalankan. Kajian rintis terhadap soal selidik telah dijalankan dan memperolehi kebolehpercayaan alpha 0.956. Hasil kajian menunjukkan secara keseluruhan tahap bekerkesanan program PSH di PPD berada tahap tinggi iaitu min tahap keberkesanan perancangan program adalah 4.575, keberkesanan pelaksanaan program dengan min: 4.5, keberkesanan penyampaian penceramah dengan min: 4.501 dan keberkesanan pengurusan urusetia program dengan min: 4.502. Dapatan kajian ini diharapkan dapat dijadikan panduan kepada penyelaras program PSH agar kualiti pengajaran dan pembelajaran PSH yang dijalankan mampu ditingkatkan secara lebih berkesan.
Kata kunci: Pembelajaran Sepanjang Hayat; Kuantitatif; Keberkesanan Kursus