KAJIAN KEPUASAN PESERTA KURSUS PENDEK BAGI KURSUS
PENTERNAKAN IKAN TILAPIA DI KOLEJ KOMUNITI TAMPIN
Azwan Abdullah
Kolej Komuniti Tampin, Gemencheh, Negeri Sembilan
Norashikin Anjur
Kolej Komuniti Tampin, Gemencheh, Negeri Sembilan
Emel pengarang koresponden: azwan.abdullah@kktns.edu.my
ABSTRAK
Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan salah satu strategi bagi membangunkan potensi modal insan negara melalui proses sokongan secara berterusan bagi merangsang dan memperkasakan komuniti untuk memperoleh pengetahuan, nilai dan kemahiran bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti. Kajian yang dilaksanakan ini bertujuan melihat sejauh mana hasil yang diperolehi oleh peserta setelah menghadiri kursus Penternakan Tilapia agar Kolej Komuniti Tampin (KKTNS) boleh menambahbaik proses, kaedah penyampaian serta modul yang disampaikan kepada peserta. Sampel kajian terdiri daripada 35 responden terdiri daripada peserta kursus tersebut yang telah menjawab Borang Soal Selidik Penilaian Kursus. Borang soal selidik ini dibahagikan kepada dua (2) bahagian iaitu Bahagian A berkenaan pelaksanaan kursus tersebut dan Bahagian B berkenaan Kemahiran dan Pengetahuan semasa serta Kemahiran dan Pengetahuan selepas berkursus. Dapatan kajian mendapati majoriti responden bersetuju pelaksanaan kursus adalah dalam keadaan baik di mana nilai purata bagi skor Bahagian A memperolehi 3.58. Manakala bagi Bahagian B berkenaan Kemahiran dan Pengetahuan dapat dilihat peningkatan tahap pengetahuan dan kemahiran para peserta dengan nilai purata skor sebelum kursus dilaksanakan adalah 1.64 dibandingkan dengan skor yang diperolehi selepas tamat kursus menunjukkan peningkatan kepada purata skor 3.54. Terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan di peringkat KKTNS bagi meningkatkan mutu penyampaian dan modul yang bersesuaian mengikut tahap peserta. Skop kajian akan datang boleh mengkaji peningkatan taraf sosioekonomi peserta sebelum dan selepas pelaksanaan kursus.
Kata kunci: Kursus Pendek; Tilapia; Kajian Kepuasan; Peserta Kursus