KECENDERUNGAN PELAJAR SIJIL TEKNOLOGI PENYEJUKAN DAN PENYAMANAN UDARA TERHADAP BIDANG KEUSAHAWANAN
Khairul Anwar Johari
Kolej Komuniti Ledang, Malaysia
Muhammad Arif Noh Shidi
Kolej Komuniti Ledang, Malaysia
Muhammad Aiman Alieas
Kolej Komuniti Ledang, Malaysia
Emel pengarang koresponden: anwar@lecturer.kklej.edu.my
ABSTRAK
Bidang keusahawanan kini berkembang dengan semakin rancak dan penting dalam memacu industri ekonomi Malaysia. Kerjaya sebagai seorang usahawan dilihat menjadi pilihan terbaik selepas dilanda pendemik Covid 19 dan perkembangan drastik aplikasi Tiktok pada masa kini. Pelajar yang telah mengambil inisiatif dengan memulakan tindakan dengan menjalankan perniagaan lebih awal semasa di alam kampus berpotensi untuk meletakkan perniagaannya sebagai suatu kerjaya selepas tamat belajar. Ini termasuk pelbagai bantuan perniagaan yang disediakan oleh kerajaan dalam mengalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan ini. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti kecenderungan pelajar Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara (SPU), Kolej Komuniti Ledang terhadap bidang keusahawanan. Terdapat tiga objektif utama yang telah ditetapkan di dalam kajian ini iaitu pertama, mengenal pasti faktor minat pelajar terhadap bidang keusahawanan, kedua, mengenalpasti sumber motivasi pelajar dan akhir sekali kemahiran keusahawanan yang dapat mendorong kecenderungan pelajar terhadap bidang keusahawanan. Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk deskriptif dan menggunakan kaedah tinjauan dimana datanya diperolehi dengan menggunakan borang soal selidik atas talian bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan. Seramai 64 orang pelajar, (semester 1, 2 dan 3) Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara (SPU), Kolej Komuniti Ledang sesi 1 2022/2023 telah terlibat dalam kajian ini. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar mempunyai kecenderungan keusahawanan yang tinggi berdasarkan faktor minat (3.5), sumber motivasi (3.4) dan kemahiran keusahawanan (3.4).
Kata kunci: keusahawanan; kecenderungan pelajar; kemahiran; penyamanan udara; perniagaan