KESEDIAAN PELAJAR ANIMASI 2D KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT

UNTUK MERANCANG DAN MELAKSANAKAN PROGRAM SHOWCASE

E-PORTFOLIO

                                   Nik Fatin Nadirah Nik Mohamad Saberi

                                 Kolej Komuniti Segamat, Johor


                                       Wan Ahmad Bishrul Hafiy Wan Abdul Ghani

                                    Kolej Komuniti Segamat, Johor


                                     Muhammad Syafiq Saiful Bahri

                                      Kolej Komuniti Segamat, Johor


                                               Emel pengarang koresponden: nikfatinnadirah@kkseg.edu.my

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti kesediaan pelajar dalam merancang dan menjalankan program showcase e-portfolio di Kolej Komuniti Segamat (KKS). Kursus e-portfolio merupakan teras umum Program Sijil Animasi 2D (SDD) bagi pelajar semester 3 membentangkan hasil kerja sepanjang semester melalui laman web yang dipanggil sebagai e-portfolio. Program showcase e-portfolio memerlukan pelajar untuk melaksanakannya berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam silibus kursus e-portfolio. Kekurangan pengalaman dan pengetahuan dalam melaksanakan sesebuah program mempengaruhi kesediaan pelajar untuk melaksanakan showcase e-portfolio. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengetahuan tentang showcase dalam kursus e-portfolio serta tahap kesediaan dan penerimaan pelajar dalam merancang dan melaksanakan program showcase e- portfolio. Reka bentuk kajian secara kaedah kuantitatif telah digunakan dengan pengumpulan data soal selidik melalui Google Form. Seramai 37 orang pelajar semasa program SDD KKS yang merangkumi pelajar semester 1 hingga semester 4 sebagai responden kajian. Dapatan kajian dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) Version 26. Nilai skor min 4.51 dicatatkan bagi pengetahuan pelajar terhadap kursus e-portfolio iaitu di tahap tinggi. Manakala nilai skor min 4.19 yang dicatatkan bagi kesediaan dan penerimaan melaksanakan program showcase e-portfolio juga di tahap tinggi. Ini menunjukkan pelajar mengetahui dan mampu untuk melaksanakan program showcase e-portfolio. Justeru, bagi menambahkan pengetahuan dan mengekalkan keyakinan pelajar dalam pelaksanaan program, mereka digalakkan untuk melibatkan diri dalam pengendalian sebarang program di kolej bagi meningkatkan tahap keyakinan dan kesediaan pelajar untuk menghadapi dan melaksanakan showcase di semester 3 pada masa akan datang.

Kata kunci: showcase; e-portfolio; animasi 2D; pelajar.