KEBERKESANAN KURSUS PENGURUSAN KEWANGAN LEMBAGA KEMAJUAN WILAYAH KEDAH (KEDA) DI KOLEJ KOMUNITI BANDAR DARULAMAN 

Nor Haniza Hashim

Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kedah 


Rahanita Abd. Rahman

Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kedah 


Noor Hasmy Md Yunos 

Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kedah 


Emel pengarang koresponden: haniza076@gmail.com 

ABSTRAK

Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berperanan menyediakan kursus jangka pendek dalam usaha mengimplementasikan pembelajaran berterusan kepada penduduk sekitar. Selaras dengan fungsinya, PSH Kolej Komuniti Bandar Darulaman dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menjalankan Kursus Pengurusan Kewangan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan dalam bidang pengurusan kewangan. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap kompetensi tenaga pengajar dan keberkesanan kursus terhadap kemahiran pengurusan kewangan usahawan KEDA yang telah mengikuti kursus ini. Reka bentuk kajian ini berbentuk tinjauan deskriptif dengan menggunakan kaedah campuran. Borang soal selidik telah diedarkan kepada 37 orang responden di mana item-item yang digunakan telah memperoleh nilai kebolehpercayaan (Alpha Cronbach) yang tinggi iaitu 0.89. Borang soal selidik ini telah diedarkan kepada responden untuk diisi selepas tamat kursus dan kaedah temu bual dijalankan bermula 1 Mei hingga 28 Mei 2023 untuk mengikuti perkembangan responden. Data yang diperolehi akan dianalisis secara deskriptif. Analisis dapatan kajian menunjukkan kompetensi pengajar dan keberkesanan kursus adalah pada tahap sederhana. Keberkesanan kursus ini juga disokong dengan dapatan temu bual di mana responden telah menggunakan buku tunai dan mengaplikasikannya dalam perniagaan seharian. Justeru dapatan kajian ini diharapkan dapat membantu Unit PSH KKBDA untuk merangka modul kursus khususnya dalam Kluster Perniagaan dan Keusahawanan yang boleh memberi impak yang lebih tinggi kepada usahawan di luar sana.

Kata kunci: Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kompetensi Pengajar, Keberkesanan Kursus